Sunday, February 28, 2010

Hospital: solat dan aurat.

Kalau nak tengok ramai orang tak solat, cuba pergi buat lawatan ke hospital. Mungkin ini bukan fakta yang benar, tetapi pengalaman saya menetap di hospital sebanyak 3 kali seperti membenarkan penyataan ini. Sekali saya masuk ward 0&G Hospital Ampang dan 2 kali saya masuk ward O&G Hospital Sg. Buloh. Kebanyakan pesakit yang tinggal bersama-sama saya merupakan wanita yang mengandung, tetapi mengalami masalah semasa mengandung seperti diabetis, kurang air, kurang darah seperti saya dan sebagainya. Sudah pasti mereka tiada halangan syar'ie untuk bersolat kerana mereka tidak datang haid.

Semasa saya menjaag adik lelaki bongsu saya di Hospital Kluang setahun yang lepas, saya perhatikan juga ramai pesakit yang tidak menunaikan kewajipan solat lima waktu. Mentaliti masyarakat, duduk ward susah nak solat...ataupun tak payah solat...tak tahulah.

Begitu juga dengan menutup aurat bagi wanita. Mereka bukanlah orang-orang yang tidak memakai tudung jika keluar rumah. Mereka datang dengan bertudung. Tetapi apabila masuk ke dalam ward, mereka terus membuka tudung. Bila tiba waktu untuk discharge dan menukar pakaian hospital kepada pakaian sendiri, mereka memakai tudung semula.

Hari pertama saya tidur di ward, saya dikejutkan oleh seorang doktor lelaki cina pada jam 12 malam untuk mengambil darah. Salah satu sebab kenapa wanita perlu memakai tudung di dalam ward, walaupun waktu tidur. Doktor akan memeriksa pesakit pada waktu pagi. Walaupun ward perempuan, tetapi doktor yang memeriksa tetap ada doktor lelaki. Dan kedatangan doktor tidak tentu. Mungkin cepat, mungkin lambat.

Waktu melawat, jam 12.30 tengah hari hingga 2 petang dan 4.30 petang hingga 7 petang. Ramai pelawat datang, lelaki dan perempuan. Sudah pasti pesakit wajib menutup aurat. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

Bagus jika dapat mendekati pesakit-pesakit di hospital. Doktor dan jururawat mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengingatkan pesakit tentang solat. Alhamdulillah, jururawat menunaikan solat. Kadang-kadang jururawat risau dan ragu-ragu untuk melepaskan saya pergi ke surau yang berhampiran untuk menunaikan solat. Mereka bimbang saya akan pengsan atau pitam memandangkan muka saya yang pucat dan kadar hemoglobin saya yang rendah..7.2. Saya faham jika apa-apa yang berlaku kepada pesakit, mereka yang akan dipertanggungjawabkan. Kerana itu, pesakit tidak dibenarkan pergi ke mana-mana.


Hospital ialah tempat untuk berehat dari urusan-urusan seharian, tetapi bukan berehat dari menunaikan solat.

0 comments:

Post a Comment